resah

resah

hati tersiram kelemasan
oleh sejuta pertanyaan
apabila perjalanan ini
kelihatannya seperti
menongkah arus
damai

hati tercerna kegundahan
oleh sejuta kekalutan
takkala mimpi ini
enggan menjanjikan
dampak realiti
pasti

hati terserlah kegelisahan
oleh sejuta keresahan
apabila yang dihajati
sebenarnya cuma ilusi
tanpa simpati
lelah

dan hati terguris lagi
oleh selembar kesilapan
bila mana perjalanan, mimpi dan ilusi
hanya lukisan yang terukir
membentang jiwa
luka

                  ilham budiman
                  30 Dis 2012

lembaran


lembaran

lembaran bertinta hitam ini
persis badai ganas
yang membungkam
lemas dalam hati
malah hingga kini
masih terus lagi
mencari peleraian
mencari kekuatan
mencari kenikmatan
erti gudang kedamaian

lembaran bertinta hitam ini
persis taufan liar
yang mengoncang
seluruh lingkup rasa
malah hingga kini
masih terus lagi
mengejar mimpi
memamah ilusi
menginjak realiti
tidak pernah berhenti

lembaran bertinta hitam ini
persis duri yang membenam
rakus merobek jiwa
sejak kelmarin.....

             ilham budiman
             18 Dis 2012



selamat malam kenangan


selamat malam kenangan

selamat malam kenangan
aku ingin sekali lena
dalam dingin mimpimu
aku ingin sekali jaga
dalam manis senyummu......

selamat malam kenangan
aku ingin sekali bersandar
pada teguh janjimu
aku ingin sekali berselimut
pada hangat kasihmu

selamat malam kenangan
aku ingin sekali berlari
mendakap hangat rindumu
aku ingin sekali berdiri
memaut erat cintamu

selamat malam kenangan
aku ingin sekali memamah
setiap inci butir bicaramu
dan aku ingin sekali menjamah
setiap mimpi yang kau cipta
untukku.....

selamat malam kenangan
aku ingin sekali menyisip
rinduku padamu.......

                   
                     ilham budiman
                     09 Dis 2012

cita-citaku


cita-citaku

cita-citaku ini
sebenarnya terlalu tinggi
malah mungkin juga
agak keterlaluan
apabila keinginanku
membatasi kemampuan
apabila pemikiranku
menjangkaui kewajaran
malah kewarasanku
melangkaui sempadan

dan
apabila aku
begitu  ingin sekali
menzahirkan
rindu di dalam  hati
menjelmakan
ilusi kepada mimpi
dan menerbitkan
mimpi kepada realiti

cita-citaku ini
sebenarnya terlalu tinggi
malah mungkin juga
sedikit keterlaluan
apabila aku
tidak pernah berhenti
untuk berilham....

                ilham budiman
                08 Dis 2012

pembelajaran


pembelajaran

sungguh tidak pernah
akan terfikir bahawa
dalam tunjang jiwaku
kekalahan ini akhirnya
terasa amat menyesakkan
pedih bagaikan selumbar
membenam di tangkai hati

namun dalam pada itu
aku juga punya kesedaran
hal ini demikian kerna
kegagalanku mentafsir
prinsip fitrah sejagat
dan keenggananku juga
untuk menerima hakikat
bahawa sesungguhnya
yang putik itu bakal layu
yang muda itu bakal tua
yang indah itu bakal pudar
yang manis itu bakal jemu
yang putih itu bakal kelam
yang datang itu bakal pergi
dan yang hidup itu pastinya
suatu hari nanti akan mati

sungguh kerna hal inilah
aku akhirnya mengakui
bahawa kekalahan ini
pada hakikatnya adalah
pembelajaran terindah
yang tak berkesudahan

                               ilham budiman
                               08 Dis 2012

teratak hati



teratak hati

teratak hatiku ini lesu
semenjak kau pergi
berlalu tanpa pamit
meninggalkan aku
termanggu sendiri
sunyi

teratak hatiku ini sendu
semenjak kau hilang
diam tanpa  bicara
enggan mengakui
kekhilafan

teratak hatiku ini sayu
semenjak kau berpaling
meninggalkan sejarah hambar
bertinta hitam tanpa simpati
buatku

teratak hatiku ini kelu
tanpamu menemani
aku...

                        ilham budiman
                        08 Ogos 2012

rindu yang menjalar


rindu yang menjalar

dan
rindupun menjalar
menyelusur tenang
mencengkam damai
menikmati perjalanan
sesekali diam berhenti
menghirup udara segar

dan
berlindung sebentar
di sebalik senyuman
kemilau sinar mentari
lalu dengan keyakinan
yang masih lagi tersisa
melingkari rimba rasa
memenuhi dataran jiwa

dan
pada akhirnya rindu
erat bertaut mesra
pada rimbunan
pepohon kasih
di dahan cinta

                 ilham budiman
                 01 Nov 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...